8.9 C
New York
Tuesday, November 19, 2024

BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k


BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

Kalau kita sebut nama “BJ40” pada peminat kenderaan-kenderaan off-road, sudah tentu mereka akan terbayang akan SUV legenda dari Toyota iaitu Land Cruiser siri J40 dengan enjin diesel siri-B. Namun kalau anda taip “BJ40” dalam enjin carian Google sekarang, anda mungkin akan bertemu dengan SUV yang kami paparkan ini – BAIC BJ40 Plus.

Beijing Automotive Group (BAIC) telah mendedahkan BJ40 Plus ini di Malaysia bulan lalu, dan ia diumumkan akan dilancarkan di pasaran tempatan bermula dengan versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China tidak lama lagi, diikuti versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan dibuat oleh EP Manufacturing (EPMB) di kilang mereka yang terletak di Melaka bermula akhir tahun ini.

Sebelum dilancarkan, kami berpeluang untuk membelek terlebih dahulu SUV ini, dan ini dia galeri penuh dari kami untuk tatapan anda.

BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

BJ40 Plus ini merupakan SUV off-road sebenar yang menampilkan casis ladder body, bersama sistem pacuan empat roda dari Borg-Warner dengan switch case yang menyediakan pilihan 2H, 4H dan 4L menerusi suis putar yang diletakkan pada papan pemuka.

Namun untuk unit rangkaian kuasa, BJ40 Plus tidak menawarkan enjin diesel, sebaliknya digerakkkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang menghasilkan kuasa 221 hp dan tork maksima 380 Nm. Enjin tersebut kemudiannya digandingkan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan konvensional dari ZF.

Walaupun namanya seperti diinspirasikan dari SUV Toyota, rupa luaran BJ40 Plus ini nampaknya menerima pengarah besar dari Jeep Wrangler. Anda boleh lihat rekaannya yang berkotak dan menampilkan engsel pintu yang terletak diluar serta bahagian overfender yang sangat lebar.

Ia juga menerima pembuka pintu berbentuk petak bersama silinder kunci konvensional untuk pintu hadapan (lama dah kita tak tengok silinder kunci ni pada kereta baru bukan?), tidak menerima suis bukaan tanpa kunci pada mana-mana pintu, serta tayar gantian bersaiz penuh yang disangkut bersama pembalut pada pintu tailgate belakang.

Dan kalau anda nak tahu juga, BAIC BJ40 Plus ini tampil dengan bumbung dan juga pintu yang boleh dicabut sepenuhnya, membolehkan anda bergaya di tepi pantai atau ketika meredah off-road di kawasan pedalaman.

Ia dihasilkan dengan dimensi 4,645 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,871 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,745 mm. Rekaan bampar hadapan dan belakang serta jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm pada BAIC BJ40 Plus ini membolehkan ia menampilkan sudut method 37 darjah dan sudut berlepas 31 darjah.

BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

Perincian luaran lain yang turut ditampilkan pada BAIC BJ40 Plus ini termasuk lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED, lampu kombinasi belakang LED, set rim aloi 17-inci kemasan dua-tona dengan tayar 245/70R17 serta cangkuk penyelamat dalam kemasan merah masing-masing diletakkan dua di hadapan dan dua di belakang.

Jika bahagian luarnya seperti Jeep Wrangler, bahagian dalaman BAIC BJ40 Plus ini pula diinspirasikan dari rekaan SUV ladder body Mercedes-Benz G-Class. Pengaruh jenama automotif premium Jerman itu boleh anda lihat pada rekaan suis penghidup enjin dan bentuk-bentuk suis lain, elemen permukaan pada papan pemuka, liang-liang penghembus udara, roda stereng dan lain-lain. Dan jika anda lihat kunci kawalan jauh BAIC ini, rekaannya juga ‘sebiji’ kunci Mercedes-Benz.

Disebabkan kesemua bumbungnya boleh dicabut, anda boleh lihat BJ40 Plus ini seakan diberikan roll cage, dan ia balut dengan fabrik untuk nampak lebih kemas. Untuk itu pemegang tangannya juga direka seperti tali untuk memudahkan ia dibuka, begitu juga bahagian spring engsel pintu yang turut digantikan dengan tali fabrik bagi memudahkan pintu dicabut sepenuhnya.

Selain itu, BJ40 Plus ini menerima perincian normal lain seperti upholsteri kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa empat hala, roda stereng balutan kulit, penghawa dingin dua zon, paparan instrumen digital dengan skrin LCD berwarna 12.3-inci, skrin infotainmen 10-inci, enam pembesar suara, brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, kamera undur dan juga dua port USB.

Namun terasa sedikit janggal pada BAIC BJ40 Plus ini kerana skrin infotainmen yang dibekalkan tidak diberikan sokongan Android Auto, Apple CarPlay mahupun apa-apa aplikasi display screen mirroring kepada telefon pintar, dan ia juga tidak diberikan fungsi auto pada kesemua tingkat cermin berkuasa.

Dari segi praktikaliti, ruang kargo belakang BAIC BJ40 ini menyediakan ruang berkapasiti 532 liter, dan ia bertambah sehingga 965 liter. Walau bagaimanapun tidak terdapat penutup tonneu pada bahagian ini, dan ini agak menyukarkan untuk pengguna meninggalkan barang dengan selamat di sini.

BAIC BJ40 ini mungkin akan dilancarkan pada bulan ini juga. Harganya masih belum dimuktamadkan, namun ia dibayangkan akan dijual pada harga sekitar RM180k hingga RM190k. Nampaknya mannequin ini akan berhadapan terus dengan satu lagi SUV ladder body dari China, iaitu GMW Tank 300 yang turut dijangka akan dilancarkan pada bulan ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest Articles